ACARA gemilang Bella Awards 2013 yang julung kali dianjurkan ntv7 boleh dianggap satu lagi acara anugerah negara yang hebat dan menarik apabila memfokus kepada kejayaan golongan wanita di Malaysia.
Kejayaan itu merangkumi pelbagai bidang yang diceburi golongan wanita atau ‘bella’ (dalam bahasa Latin) selain sumbangan besar mereka terhadap masyarakat.
Paling mendapat tumpuan dan tepukan gemuruh adalah kemunculan bekas anggota Boyzone, Ronan Keating yang tampil pada segmen terakhir bersama dua lagunya, When You Say Nothing At All serta Fire.
Lebih menarik, ulang tahun hari jadi Keating yang jatuh semalam juga diraikan lebih awal di pentas oleh barisan hos pada malam itu, Vanessa Chong, Elaine Daly, Daphne Iking dan Hans Isaac.
Keating yang masih kacak dan sasa menjadi pujaan ramai pada malam itu dan menganggap pembabitannya dalam Bella Awards 2013 sangat bermakna sekali. Dia juga cuba berkomunikasi dalam bahasa Malaysia tatkala memuji kehebatan wanita tempatan.
Selain Keating, kemunculan Rossa dan Marcell dari Indonesia turut menyerikan lagi acara yang dilihat cuba meminjam aura Golden Globe Awards itu. Lebih 500 tetamu yang bergaya dengan gaun petang dan ‘black tie’, diraikan dalam majlis koktel pada lewat petang dan kemudian ke acara makan malam dengan juadah Barat.
Apapun kejayaan manis dirasai penyampai Hot FM, Fara Fauzana, 33, apabila berjaya merangkul trofi Bella Radio Award yang menyaksikan saingan sengit daripada finalis lain iaitu Hunny Madu, Dilly, Linda Onn, Patricia K, Sara-Jane Lo, Sarimah Ibrahim, Serena C, Yoon Ng dan Tham Zher Pheen.
“Pagi tadi saya berada di Pulau Pinang untuk aktiviti Planet Radio, kemudian tengah hari bergegas pula ke Sungai Petani, Kedah, sempena’ road tour’ Anugerah Bintang Popular Berita Harian.
“Dalam perjalanan pulang, saya ketepikan soal lelah untuk berada di majlis ini. Terus terang saya datang ke mari untuk memberi sokongan kepada Hunny Madu. Saya sangkakan dia yang akan menang kerana nama Hunny Madu cukup dikenali dalam kelompok ‘urban’.
“Lagipun, kami bernaung di bawah satu syarikat yang sama justeru itu kehadiran saya lebih kepada sokongan sesama rakan setugas. Jadi saya berasa sangat terkejut apabila diumumkan menang kerana selama ini saya peminat saya terdiri dari kelompok ‘mass’.
“Bagaimanapun, saya yakin kemenangan ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan sebilangan kecil peminat yang begitu aktif di Facebook, Twitter dan Instagram, sekali gus menyarankan orang ramai menghantarkan undian demi memastikan kejayaan saya,” kata Fara.
Datuk Siti Nurhaliza pula masih unggul apabila memenangi kategori ‘Bella On-Stage’. Pengundi di luar sana memilih beliau, sekali gus mengenepikan Datuk Sheila Majid, Anita Sarawak, Jaclyn Victor, Joanna Bessey, Joanne Kam Po Po, Ning Baizura, Shila Amzah, Soo Wincci dan Suhaili Micheline.
“Terima kasih buat semua peminat yang tidak jemu-jemu menyokong kerjaya Siti sehingga hari ini dan anugerah Bella On-Stage Award bukti kesetiaan mereka,” kata Siti menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dikirimkan kepada media selepas acara berkenaan.
Siti tidak dapat datang kerana terbabit dengan kemuncak Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam yang sama.
Sebanyak 11 anugerah dipertandingkan kesemuanya menerusi Bella Awards 2013 dan empat daripadanya memberikan hak kepada penonton memilih pemenang.
Selain Bella Radio Award dan Bella On-Stage Award, dua anugerah lain adalah Bella Sports Award dan Bella On-Screen Award.
Bagi kategori ‘sports’ Cheong Jun Hoong muncul sebagai pemenang manakala, ‘On-Screen’ menyaksikan kejayaan pelakon jelita, Debbie Goh. Debbie menewaskan wajah-wajah tekenal antaranya Lisa Surihani, Maya Karin, Nora Danish, Fazura, Cheryl Samad dan Siti Saleha.
Sementara kategori yang dinilai juri profesional iaitu Bella Creative Award menyaksikan kejayaan, Long Ngai Yuen; Bella Style Award (Gillian Hung); Bella Beautiful Award (Dr Premitha Damodaran), Bella Business Award (Datuk Rosaline Ganendra) dan Bella Heart Award (Datuk Ruby Khong).
Datuk Ruby Khong turut membawa pulang satu lagi trofi untuk anugerah tertinggi malam itu, Bella Award. Tidak melupakan kepentingan kaum lelaki Bella Awards 2013 turut mengiktiraf Datuk Jimmy Choo yang menerusi kategori Bella Mars Award.
Berita dan gambar : hmetro
No comments:
Post a Comment