Kampung Pisang, sebuah kampung fiksyen rekaan Mamat
Khalid pada awalnya hanyalah latar kepada filem sindiran, "Zombie
Kampung Pisang" (ZKP) ciptaannya.
Namun begitu, kejayaan "Zombi Kampung Pisang" - kisah lucu-seram
serangan zombi yang mengejutkan protagonis utamanya, Husin dan para
penduduk sebuah kampung tipikal Malaysia pada tahun 2007 bukan saja
menaikkan lagi populariti pengarah berpengalaman itu, malah menghidupkan
semua karakter-karakter berkenaan, seolah-olah memang wujud sebuah
kampung bernama Kampung Pisang dan semua penduduknya yang serba aneh dan
melucukan.
Terbaru selepas "Zombie Kampung Pisang" dan "Hantu Kak Limah Balik
Rumah" (HKLBR), Mamat Khalid muncul dengan sekuel filem komedi ini
berjudul "Hantu Kak Limah Balik Rumah 2: Husin, Mon & Jin Pakai
Toncit" (HMJPT) yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 7 Februari 2013
Jika anda tidak pernah menonton filem-filem yang dikatakan tadi, tibalah
masanya untuk anda mengenali antara karakter-karakter dalam filem
tersebut.
Para Pemuda Kampung Pisang:
Husin - lakonan Awie
Husin merupakan protagonis utama Kampung Pisang. Sekalipun bermula
sebagai pemuda yang rasa rendah diri kerana tiada kelulusan SPM dalam
"Zombi Kampung Pisang" (ZKP), Husin perlahan-lahan mengubah dirinya
menjadi seorang pemuda yang punya tekad dan wawasan (seperti yang kerap
kali diulangnya) selepas berjaya mengetuai misi untuk menyelamatkan
kampungnya daripada serangan zombi dan mengungkai misteri di sebalik
kehadiran zombi di Kampung Pisang.
Dalam HKLBR, Husin dilihat sebagai seorang pemuda yang kini berjaya dan
punya pekerjaan, dan merasakan dia punya tanggungjawab untuk
menyelesaikan masalah yang bermula dengan kehadiran hantu Kak Limah.
Sementara itu, dari segi percintaan, Husin agak malang dalam
perhubungannya. Tiada penjelasan tentang hubungan Husin dan Mon (lakonan
Ezlynn), cinta pertamanya selepas tamat ZKP, sementara hubungannya
dengan Che Nin (Ummi Nazeera) dalam HKLBR pula tidak kesampaian. Namun
dengan kembalinya Mon dalam HMJPT, mungkinkah persoalan itu akan
berjawab?
Usop Wilcha - lakonan Shy8
Dalam ZKP, Usop merupakan penduduk Kampung Pisang yang berperwatakan
lembut dan tidak pernah henti-henti memberitahu semua orang bahawa dia
bekas penari kebudayaan yang pernah membuat persembahan di Jerman. Namun
begitu, dalam HKLBR, Usop dinaiktaraf menjadi watak penting, dan
dikenali sebagai Usop Wilcha, selepas kakinya dilenyek jentera Wan Kaswi
(Azwan Annuar) dan perlu menggunakan kerusi roda. Usop Wilcha mempunyai
tabiat suka menari-narikan tangannya dan sentiasa mencari peluang untuk
rapat dengan Husin.
Abi Hurairah - lakonan Johan Raja Lawak
Abi Hurairah merupakan kawan baik Husin yang diperkenalkan dalam HKLBR.
Abi tinggal serumah dengan Usop Wilcha dan membantu membawa Usop Wilcha
ke mana-mana dengan motosikalnya. Seorang yang ramah-tamah dan suka
mengusik, Abi juga selalu membuat kesilapan dalam pertuturan Bahasa
Inggeris. Abi juga suka berpakaian ala rock 80-an.
Musalman - lakonan Pekin Ibrahim
Musalman merupakan anak Kak Limah yang pernah menjadi seorang penagih
dadah dan pencuri. Namun begitu dia kemudiannya berubah dan dikatakan
bekerja di syarikat milik Rosyam Nor di Kuala Lumpur.
Anak Dara Kampung Pisang:
Maimon - lakonan Ezlynn Maimon (atau Mon) merupakan anak dara Pak
Abu (yang mati mengejut dalam ZKP) dan menjadi rebutan para teruna
Kampung Pisang, terutama sekali Husin. Maimon nampak seperti seorang
gadis yang agak lurus dan tidak peduli dengan perhatian yang diberikan
kepadanya.
Selepas ZKP, watak Mon tidak muncul kembali dalam HKLBR. Namun begitu,
para penonton bakal dipertemukan semula dengan watak lakonan Ezlynn ini
dalam HMJPT.
Cik Nin - lakonan Ummi Nazeera
Cik Nin merupakan anak kepada Pak Jabit yang juga bekerja di warung Pak
Jabit. Tidak banyak yang diketahui tentang Cik Nin melainkan dia pernah
bercinta dengan Husin sebelum Husin memutuskan hubungan mereka dan
membawa diri ke Singapura.
Munah - lakonan Nadia Mustafa
Munah merupakan seorang lagi anak Pak Abu dan juga kakak kepada Maimon.
Dalam ZKP, Munah pernah bercinta dengan A. Kamsan sebelum A.Kamsan
membawa diri.
Ayu - lakonan Avaa Vanja
Dalam HKLBR, Ayu merupakan seorang gadis yang menyimpan perasaan kepada Husin tetapi tidak dipedulikan Husin.
Watak Ayu juga akan kembali dalam HMJPT.
Warga Tua Kampung Pisang:
Pak Jabit - lakonan Man Kadir
Pak Jabit merupakan ketua kampung para penduduk Kampung Pisang yang
berubah menjadi zombi secara tiba-tiba selepas jenazahnya hilang ketika
di rumah Pak Abu. Dalam HKLBR, dia juga pemilik sebuah warung kopi. Pak
Jabit menyimpan rasa marah kepada Husin kerana meninggalkan anaknya, Cik
Nin untuk bekerja di Singapura.
Pak Abu – lakonan Zami Ismail
Dalam ZKP, Pak Abu merupakan bilal Kampung Pisang dan bapa kepada Munah
dan Maimon, yang menjadi rebutan ramai, termasuk Husin. ZKP bermula
apabila Maimon meminta bantuan Husin kerana Pak Abu tiba-tiba mati
mengejut. Pak Abu suka berpura-pura berani dan bercakap besar walaupun
sebenarnya seorang yang penakut, dan menjadi orang yang mencadangkan
agar siasatan dibuat terhadap masalah Hantu Kak Limah.
Pak Mail – lakonan Hamid Gurka
Pak Mail merupakan penduduk warga emas Kampung Pisang yang mempunyai
masalah pendengaran, menyebabkan masalah komunikasi apabila para
penduduk yang lain cuba untuk menyedarkannya tentang kehadiran zombi di
kampung tersebut.
Watak-Watak Lain:
Kak Limah – lakonan Delimawati
Kak Limah merupakan penduduk Kampung Pisang yang tinggal sendirian.
Dalam HKLBR dia disalahertikan akibat penyakitnya dan menjadi subjek
ketakutan para penduduk yang lain. Kak Limah mempunyai anak bernama
Musalman. Dalam HMJPT, Kak Limah kembali, kali ini sebagai
perancang rombongan ke Singapura.
Wan Kaswi - Azwan Annuar
Dalam HKLBR, Wan Kaswi merupakan penduduk Kampung Pisang yang menjadi
pelanggan tetap warung Pak Jabit dan terlibat dalam misi menyelesaikan
isu Hantu Kak Limah.
yahoo.entertainment