Showing posts with label Jenayah. Show all posts
Showing posts with label Jenayah. Show all posts

Friday, 5 October 2018

Kedai Dobi Meletup

Dilaporkan bahawa sebuah kedai dobi meletup di Klang semalam. 2 orang cedera apabila mesin pengering (dryer) yang menggunakan kuasa gas memasak (over ayat..) dalam kedai berkenaan meletup






Ishh ishh ishhh... macam-macam hal kisah kedai dobi akhir-akhir ni... aritu kisah samun pensyarah oleh 2 pemuda di kedai dobi... kemudian kes masukkan kucing dalam mesin pengering oleh 2 orang jugak... lepastu kisah masukkan budak dalam mesin pengering..ni 2 orang pulak cedera...



Monday, 7 May 2018

Curi kabel elektrik

Nyaris hangus curi kabel

SANTUBONG: Seorang pencuri bukan saja tidak sempat mencuri kabel elektrik, malah melecur akibat terkena renjatan elektrik di Perumahan Sentoria, Jalan Pasir Pandak, malam tadi.

Kejadian itu disedari orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan jam 10.20 malam selepas melihat seorang lelaki tersangkut pada tiang elektrik.

Suspek dilihat menjerit meminta pertolongan akibat kesakitan selepas terkena renjatan elektrik itu.

Mengesahkan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek, berkata suspek memanjat tiang berkenaan untuk memotong kabel elektrik.

Beliau berkata, ketika cuba memotong kabel, tiba-tiba berlaku renjatan elektrik sehingga menyebabkan suspek melecur 80 peratus badannya.

"Polis menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Kuching sebelum anggota polis diarah ke lokasi kejadian.

"Ketika tiba, suspek masih tersangkut pada tiang berkenaan dalam keadaan melecur sebelum anggota bomba dipanggil untuk menurunkannya selepas dtr sambungan elektrik diputuskan juruteknik Perbadanan Pembekalan Elektrik Sarawak ( SESCO)," katanya, hari ini.

Ah Lek berkata, siasatan di lokasi kejadian juga menemui pelbagai peralatan memotong kabel digunakan suspek.

Katanya, identiti suspek juga masih belum dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui padanya.

"Suspek kini ditempatkan di zon merah Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut tetapi masih belum dapat bercakap.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat harta benda awam dan Seksyen 511 kanun sama kerana mencuri," katanya.


Sunday, 1 February 2015

Beruang Matahari Muncul di Sibu?

Beruang Panda biasa didengar. Tetapi pernahkan anda mendengar Beruang Matahari?

Sekumpulan pekerja ladang kelapa sawit warganegara Indonesia di Jalan Binta­ngor-Sibu gempar apabila diserang seekor haiwan yang kelihatan aneh dan berkuku panjang serta tajam semalam.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, binatang tersebut tiba-tiba datang meluru ke arah mereka yang ketika itu sedang sibuk bekerja di ladang. Apabila haiwan itu mahu menerkam mereka, seorang dari pekerja di situ telah memukul haiwan berkenaan hingga pengsan dan menghalaunya ke hutan berdekatan selepas ia sedar.

Beruang Matahari yang dikatakan menyerang pekerja ladang (kiri). 
Gambar beruang matahari yang normal (kanan)
(Gambar dari Utusan & adneehjahmad.blogspot)

Sarawak Forestry Corporation (SFC) percaya haiwan aneh yang menyerang pekerja ladang kelapa sawit di Jalan Bintangor-Sibu semalam adalah beruang matahari berdasarkan pemerhatian kepada gambar dan video yang diambil pekerja bekenaan.

Haiwan itu mempunyai ciri-ciri yang menyamai beruang matahari yang merupakan spesies yang amat jarang ditemukan. Antara cirinya ialah muncung hidung berwarna hitam dan kuku yang panjang.

Beruang matahari adalah spesies yang paling kecil dalam kalangan lapan jenis beruang di dunia dan dilindungi Akta Perlindungan Hidupan Liar 1998 di Sarawak,

Friday, 7 June 2013

Kejadian Kenderaan Dilarikan : Beringat Sebelum Terkena



Peringatan dari Polis Pahang : SENTIASA BERINGAT SEBELUM KENA..

Jangan sesekali meninggalkan anak-anak atau ahli keluarga di dalam kereta yang tidak berkunci dengan enjin yang hidup ketika berurusan walaupun mengambil masa yang singkat. Mungkin ramai antara kita melakukannya ketika mengeluarkan wang di ATM, mengisi petrol kenderaan, mengambil anak di pusat asuhan atau sekolah, membayar bil parkir kenderaan, singgah di kedai di tepi jalan dan lain-lain lagi.
Jangan disebabkan mahu cepat, kita kehilangan orang tersayang dan kenderaan dilarikan penjenayah. Biarlah lambat sedikit asalkan selamat. Tetapi awas, jangan pula tinggalkan anak dengan enjin kenderaan dimatikan dan semua cermin kenderaan tertutup rapat.

Sekiranya terpaksa, tinggalkan anak-anak bersama orang dewasa di dalam kenderaan yang dimatikan enjin dan cermin terbuka. Nilailah terlebih dahulu situasi, tempat dan fikir sejenak kebaikan dan keburukan tindakan yang bakal kita ambil.

Penjenayah sentiasa mengintai ruang dan peluang yang kita sendiri sediakan kepada mereka.

Sekiranya terpaksa, tinggalkan anak-anak bersama orang dewasa di dalam kenderaan yang dimatikan enjin dan cermin terbuka. Nilailah terlebih dahulu situasi, tempat dan fikir sejenak kebaikan dan keburukan tindakan yang bakal kita ambil.

Penjenayah sentiasa mengintai ruang dan peluang yang kita sendiri sediakan kepada mereka.


Pesanan ini rentetan kejadian kereta dilarikan bersama ahli keluarga yang berlaku baru-baru ini....


Petikan dari Sinar Harian : 5 Jun 2013




KUANTAN – Gara-gara cuai meninggalkan kereta dalam keadaan enjin tidak dimatikan, seorang lelaki, Abdul Rasol Mohd Tahir, 50 hampir mempertaruhkan nyawa isterinya yang lumpuh, Hamiah Abd Majid, 50-an dan seorang anaknya, Norafidah, 15 apabila kenderaan yang di parkir di hadapan sebuah pasar raya dilarikan penjenayah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, mangsa meninggalkan isteri dan anaknya di dalam kereta serta masuk ke dalam pasar raya untuk menyelesaikan satu urusan.

Bagaimanapun, kereta Honda Civic yang ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci dan enjin tidak dimatikan itu dilarikan oleh seorang lelaki bersama isteri serta anak yang ditinggalkan di bahagian penumpang di belakang.

Abdul Rasol berkata, sebaik sahaja keluar dari pasar raya, dia mendapati kenderaan berwarna putih miliknya sudah lesap.

“Saya cuba menghubungi telefon bimbit anak perempuan saya tetapi tidak berjawab membuatkan saya risau.

“Bimbang sesuatu tidak dingini berlaku, saya terus menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya semasa membuat laporan polis di IPD Kuantan, di sini, semalam.

Katanya, dia bernasib baik kerana penjenayah hanya melarikan kereta dan meninggalkan isteri serta anaknya di tepi jalan di Bukit Sekilau.

“Lebih kurang jam 3.30 petang saya menerima satu panggilan daripada seorang perempuan Cina yang memaklumkan isteri dan anak saya berada di Bukit Sekilau.

“Sebelum meninggalkan isteri dan anak saya di tepi jalan, penjenayah sempat menghulurkan wang sebanyak RM 50 kepada mereka berdua untuk digunakan sebagai tambang teksi.

“Perempuan Cina itu menghantar isteri dan anak saya sebelum kami terus ke balai polis untuk membuat laporan.

“Semua barangan di dalam kereta termasuk kunci rumah dan telefon milik anak turut dilarikan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes terbabit.

Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes tersebut dan mengesan suspek serta kereta terbabit.



Tuesday, 12 March 2013

Dua Lagi Anggota Keselamatan Terkorban di Lahad Datu


12 Mac 2013: Sebentar tadi sekitar jam 4 petang waktu tempatan dalam satu sidang media Panglima angakatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengesahkan bahawa seorang lagi anggota keselamatan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terkorban, seorang cedera manakala tiga lagi pengganas turut terkorban dalam pertempuran di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu kira-kira jam 10.45 pagi tadi. Anggota keselamatan berkenaan adalah Prebet Ahmad Hurairah Ismail berusia 24 tahun.

Sementara itu seorang lagi anggota keselamatan, Ahmad Farhan Roslan 21 tahun turut terkorban dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Lahad Datu-Chenderawasih ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan dalam operasi bekenaan.

13 Mac 2013: Jenazah Prebet Ahmad Hurairah Ismail dan Ahmad Farhan Roslan dibawa menaiki pesawat C-130 milik TUDM mendarat sejurus sebelum 8 pagi di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, hari ini 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara yang hadir dan memasuki pesawat bagi memberi penghormatan terakhir

Untuk rekod, Allahyarham Ahmad Hurairah adalah anggota Angkatan Tentera Malaysia pertama yang terkorban sejak insiden pencerobohan pengganas di Sabah bermula 12 Februari. Sehingga kini, 10 anggota keselamatan gugur dalam insiden pencerobohan bersenjata itu manakala 56 musuh ditembak mati.

Semoga anggota keselamatan yang terkorban ditempatkan dikalangan mereka yang syahid.

Monday, 4 March 2013

Senarai Pahlawan-Pahlawan Lahad Datu dan Semporna yang gugur


 3 Mac 2013 : Senarai anggota yang terkorban dan cedera di Lahad Datu




Terkorban:
1.INSP G/17992 ZULKIFLI B. MAMAT
2.KPL 113088 SABARUDDIN B. DAUD

Cedera:
1. KPL 135383 AZMAN B. AMPONG
2.KPL 152133 MOHD TARMIZI B. HASHIM
3. KON 175533 MOHAMED QAIYUM’AIQAL B. ZOLKIFLI



4 Mac 2013 : Senarai Anggota yang terkorban di Semporna




Allahyarham Supt Ibrahim bin Lebar, 52 tahun berasal dari Besut, Terengganu dan bertugas di Cawangan Khas Bukit Aman. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia, beliau meninggalkan seorang balu Puan Rosiah bt Dahlan, 52 dan 3 orang anak masing-masing berusia 22, 20 dan 17 tahun. Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 20, Subang Jaya pada jam 9.00 malam ini.

Mendiang ASP Michael Padel, 36 tahun berketurunan Bidayuh dan berasal dari Serian, Sarawak. Bertugas di Cawangan Khas IPD Semporna dan meninggalkan seorang balu Puan Jabah a/p Mingku serta seorang anak lelaki berusia 1 tahun. Jenazah mendiang akan dibawa pulang ke Kg Bidayuh, Tebakang, Serian untuk disemadikan.

Allahyarham Sarjan Baharin bin Hamit, 49 tahun berasal dari Alor Gajah, Melaka dan bertugas di Cawangan Khas IPK Sabah. Beliau meninggalkan seorang balu, Puan Sumati binti Suarah, 50 tahun dan dua orang anak berusia 16 dan 11 tahun. Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Nur Islam IPK Sabah dan akan dikebumikan di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu pada jam lebih kurang 3.00 petang ini.

Allahyarham Sarjan Aziz bin Sarikon, 52 tahun bertugas di PGA Batalion 14 Semporna, Sabah. Beliau meninggalkan seorang balu, Sitti Banddorah Bt Mahalil, 39 dan 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan yang masing-masing berusia 18, 15, 12 dan 7 tahun. Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di IPD Semporna untuk dikebumikan.

Allahyarham L/Kpl Mohd Azrul bin Tukiran, 27 tahun berasal dari Klang, Selangor dan bertugas di Batalion 14, PGA Tawau. Beliau yang masih bujang merupakan anak keenam daripada tujuh adik beradik. Jenazahnya akan dibawa pulang ke rumah ibu bapanya di Jalan Teluk Kapas, Kampung Rantau Panjang, Klang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Shapadu, Kg Panjang, Klang.

Allahyarham Kpl/S Salam bin Togiran, 42 tahun berasal dari Sandakan, Sabah dan bertugas di IPD Tawau. Beliau meninggalkan seorang balu, Puan Marlinah binti Utan dan 4 orang anak berusia 16, 13, 11 dan 1 tahun. Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 15, Jalan Apas, Tawau.

Pemergian perwira-perwira negara ini akan dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia. Jasamu, baktimu, pengorbananmu akan teguh di sanubari rakan seperjuangan dan menjadi azimat untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara.




Sumber: http://www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia, http://www.rmp.gov.my/
 

Friday, 22 February 2013

Kanak-kanak lelaki dibunuh dan disimen jadi patung di Surabaya




JAKARTA, 20 Feb (Bernama) -- Suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan umum Karang Tembok, Surabaya pada Selasa malam, ketika anggota keluarga dan ratusan penduduk kampung mengebumikan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga setengah tahun, yang dibunuh dan disimen menjadi patung oleh seorang jirannya. 

[Gambar] Patung simen yang dipercayai budak berkenaan

Laporan media tempatan menyebut pembunuhan kejam Fahri Khusaeni Romadhon itu terbongkar tengah hari semalam apabila penduduk yang mencari kanak-kanak itu menjumpainya di belakang rumah seorang jiran di kawasan Jalan Endrosono, Surabaya dalam keadaan sudah menjadi patung simen, setelah mencari sumber bau busuk dari rumah itu.

Tanpa memecahkan simen itu, mereka sudah mengenali bahawa ia adalah jasad Fahri kerana rupa bentuk ''patung'' itu mirip ukuran badannya dan penemuan itu terus dilaporkan kepada polis.

Fahri dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu.


Jiran yang dipercayai membunuh dan menyimen Fahri

Polis sudah menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes itu dan sedang menyiasat motif pembunuhan.

Suspek yang dilaporkan mempunyai latar belakang gangguan jiwa, ditahan petang semalam, tidak lama selepas penemuan jasad Fahri.

Seorang jurucakap polis Daerah Pelabuhan Tanjung Perak, Surabaya berkata suspek dipercayai membunuh dengan cara menghempasnya beberapa kali ke lantai.

Berdasarkan pengakuan suspek, dia nekad membunuh Fahri kerana berasa sakit hati dengan bapa kanak-kanak itu dan dengan alasan takut dibunuh, suspek membunuh anak jirannya itu terlebih dahulu.

Polis sedang memeriksa kesihatan mental suspek selain menyiasat sama ada orang lain yang tinggal bersama suspek di dalam rumah berkenaan, yang kini sudah dikosongkan, turut terlibat dalam kejadian itu.

Wednesday, 19 September 2012

Kuantan: Banduan Terlepas...




Kereta Polis yang remuk (Gambar: Sinar Harian)

Semalan, di Kuantan, orang ramai menjadi agak ketakutan apabila satu kejadian diluar dugaan telah berlaku. Tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu parah selepas kereta yang dinaiki mereka dalam perjalanan menghantar seorang banduan ke Penjara Penor, dekat sini, terbabas sebelum merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di tepi jalan.Lelaki itu bertindak agresif menyerang pemandu dalam cubaannya meloloskan diri.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Taman Datuk Rashid itu, banduan terbabit, Roslan Ismail, 32, yang dijatuhi hukuman penjara   8 tahun dan 10 sebatan kerana kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 berjaya meloloskan diri dengan tangan bergari, bagaimanapun tiada sebarang senjata api dilarikan.



Suspek yang meloloskan diri (Gambar: Sinar Harian)

Orang awam yang kebetulan menyaksikan kejadian cuba mengejar banduan tersebut selepas salah seorang anggota polis yang cedera menjerit meminta bantuan supaya menangkapnya bagaimana pun lelaki yang dipercayai sudah berumah tangga dari Terengganu itu  berjaya menghilangkan diri di kawasan hutan berhampiran

Pemandu kereta, Lans Koperal Filyx Saver, 25, patah paha kanan manakala dua anggota pengiring, Konstabel Zulkhairi Ramli, 24 cedera di leher dan Koperal Rashid Ahmad, 51 cedera pergelangan tangan serta pinggul.

Dalam kejadian itu, pemandu lori, Mohd Zamri Abdul Kadir, 25,  yang sedang membaiki tayar lorinya  di tepi jalan cedera betis.

Semua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan manakala pemandu lori hanya menerima rawatan pesakit luar.

Update: dengar-dengar dari rakan-rakan yang tinggal sebelah Balok/Sg Karang sana kata dah kena tangkap banduan tu....dia menyorok dalam rumah kosong/tinggal dekat-dekat kawasan tu jugak katanya....


Friday, 14 September 2012

Perkembangan kes bunuh eksekutif TV9, Nur Syaleza Jaffar

Penghujung Julai 2012, ketika Umat Islam sedang menunaikan ibadah Puasa Ramadhan, Eksekutif TV9 Nur Syaleza Jaffar ditemui mati di dalam sebuah bilik di rumahnya di Apartmen Saujana Damansara Damai Sungai Buloh.


Hari ini Mahkamah Majistret Petaling Jaya telah menetapkan 25 Oktober depan untuk sebutan semula kes bunuh ini. Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.


Suami mangsa, Norazman Bashah, 31, bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak, didakwa membunuh Syaleza, 31, di kediamannya di No. 115, Tingkat 1 Blok O, Apartment Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, antara jam 12 tengah hari hingga jam 7.30 malam, 28 Julai lepas.

Norazman Bashah yang diwakili peguam, Shah Rizal Abdul Manan dan Muhammad Fadhli Sutris, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama