Saturday 28 July 2012

Polis berkas 7 penyamun di Batu Feringghi


GEORGETOWN: Polis memberkas tujuh lelaki yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT), dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Batu Feringghi, jam 6.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata terdahulu polis menerima laporan mengatakan seorang lelaki menyamun wang tunai berjumlah RM300 dan sebuah telefon bimbit daripada seorang pelajar lelaki di Taman Nagasari, Perai, tengah hari semalam.

"Berdasarkan maklumat itu sepasukan polis telah berkejar ke tempat kejadian dan menjejaki suspek," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Saga yang turut dinaiki tiga lagi individu menuju ke Batu Feringghi.

Pasukan polis yang mengekori kemudian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi mendapatkan bantuan sebelum menyerbu sebuah unit di tingkat lapan pangsapuri terbabit.

Azman berkata, kesemua suspek dipercayai turut terbabit dalam beberapa rompakan di kafe siber sekitar SPT sejak beberapa bulan lalu.

Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 20 tahun serta sebatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment