Friday 6 July 2012

Coret-coret SUKMA Kuantan 2012 : Penyokong Sabah tak puas hati atlit taekwondo mereka kecundang

Gambar : mysarawak.org


Kuantan: Belum pun tirai Sukan Malaysia (SUKMA) XV disingkap secara rasmi, tetapi 'Mini Sukan Olimpik Malaysia ' itu sudah dicemari dengan insiden penyokong membaling botol mineral ke dalam gelanggang pertandingan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP), semalam.

Insiden itu meletus gara-gara pasukan dan penyokong Sabah tidak puas hati keputusan pengadil dan pegawai teknikal yang membatalkan mata kemenangan atlit taekwondo mereka, Leabner Alliun ketika saingan final kategori lightweight (68-74kg) menentang Mohamad Akmal Omar Sidek dari Selangor.
Saingan kedua-dua peserta itu terpaksa ditentukan menerusi pertarungan penentuan selepas kedudukan terikat 7-7 sehingga tamat masa, tetapi pengadil dan pegawai teknikal kemudian membatalkan mata kemenangan yang diperoleh Leabner.

Keputusan itu menyaksikan pertarungan penentuan terpaksa diadakan semula sebelum kesudahannya dimenangi oleh Mohd Akmal yang kemudian menyaksikan layangan botol mineral yang datang dari arah penyokong Sabah mendarat di atas gelanggang pertandingan.

"Pengadil dan pegawai teknikal meragut emas saya dan Sabah. Saya cukup kecewa kerana saya sepatutnya sudah diisytiharkan pemenang tetapi kemudian dibatalkan," kata Leabner, 19, yang menangis kekecewaan.

Sementara itu, pegawai teknikal pertandingan, K Dhanaraj yang juga bekas jurulatih negara menegaskan keputusan membatalkan mata kemenangan peserta Sabah dan mengarahkan pertarungan penentuan diadakan semula adalah tepat.
"Kita tidak merampas emas mereka kerana daripada ulang tayang kita dapati pengadil sudah memberhentikan perlawanan kerana peserta Selangor sudah berada di luar gelanggang pertandingan sebelum sepakan peserta Sabah terkena sasaran dan memberikan mata.

“Kita sudah menjemput jurulatih dan pegawai Sabah menyaksikan ulang tayang berkenaan dan ingin saya tegaskan kita tidak menyembunyikan apa-apa," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Botolairterbangmelayang/Article



No comments:

Post a Comment