Sunday 15 July 2012

Kerana RM500...Kena RM5,000 pula




KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis wanita berpangkat sarjan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan RM500 daripada seorang suspek penyalahgunaan dadah pada September tahun lalu.

Ketika menjatuhi hukuman itu, Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin turut memerintahkan Esah Ismail, 52, dari Kelantan, dikenakan hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan. Mengikut fakta kes, Esah yang juga pegawai penyiasat kes di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, dituduh menerima suapan daripada Zambri Sharifuddin yang didapati positif dadah selepas ujian air kencing dan meminta wang sebanyak RM1,000 untuk 'adjust' keputusan air kencing Zambri.

Namun bertindak atas aduan, ibu kepada tujuh anak itu ditangkap dalam satu kes perangkap oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Terengganu dan Esah didapati menerima wang perangkap berjumlah RM500 berdasarkan nombor siri wang perangkap adalah sama dengan senarai wang bertanda.

Tertuduh ditangkap dalam jam 6.20 petang di Kedai Denova Beauty (Avon), Jalan Haji Jusoh, Jertih, Besut pada 11 September tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuannya, Esah yang sebelum ini mempunyai rekod bersih sepanjang 31 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia dan pernah dianugerahi Pingat Jasa Kebaktian oleh Sultan Kelantan pada 2006 berkata, beliau insaf dan memohon maaf kepada semua pihak atas perbuatannya itu.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya SPRM Zainal Ayop manakala Esah diwakili peguam Zamri Mat Nawang. - BERNAMA

*Moral of the story : Kita sebagai manusia sentiasa digoda melalui hawa nafsu oleh syaitan...ada kalanya kita tertewas...

No comments:

Post a Comment