Thursday 7 February 2013

Zombi, Hantu, Jin & Kampung Pisang Tayangan 7 Febuari 2013



Kampung Pisang, sebuah kampung fiksyen rekaan Mamat Khalid pada awalnya hanyalah latar kepada filem sindiran, "Zombie Kampung Pisang" (ZKP) ciptaannya. 

Namun begitu, kejayaan "Zombi Kampung Pisang" - kisah lucu-seram serangan zombi yang mengejutkan protagonis utamanya, Husin dan para penduduk sebuah kampung tipikal Malaysia pada tahun 2007 bukan saja menaikkan lagi populariti pengarah berpengalaman itu, malah menghidupkan semua karakter-karakter berkenaan, seolah-olah memang wujud sebuah kampung bernama Kampung Pisang dan semua penduduknya yang serba aneh dan melucukan.

Terbaru selepas "Zombie Kampung Pisang" dan "Hantu Kak Limah Balik Rumah" (HKLBR), Mamat Khalid muncul dengan sekuel filem komedi ini berjudul "Hantu Kak Limah Balik Rumah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit" (HMJPT) yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 7 Februari 2013

Jika anda tidak pernah menonton filem-filem yang dikatakan tadi, tibalah masanya untuk anda mengenali antara karakter-karakter dalam filem tersebut.

Para Pemuda Kampung Pisang:
 
Husin - lakonan Awie
Husin merupakan protagonis utama Kampung Pisang. Sekalipun bermula sebagai pemuda yang rasa rendah diri kerana tiada kelulusan SPM dalam "Zombi Kampung Pisang" (ZKP), Husin perlahan-lahan mengubah dirinya menjadi seorang pemuda yang punya tekad dan wawasan (seperti yang kerap kali diulangnya) selepas berjaya mengetuai misi untuk menyelamatkan kampungnya daripada serangan zombi dan mengungkai misteri di sebalik kehadiran zombi di Kampung Pisang.
Dalam HKLBR, Husin dilihat sebagai seorang pemuda yang kini berjaya dan punya pekerjaan, dan merasakan dia punya tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang bermula dengan kehadiran hantu Kak Limah.

Sementara itu, dari segi percintaan, Husin agak malang dalam perhubungannya. Tiada penjelasan tentang hubungan Husin dan Mon (lakonan Ezlynn), cinta pertamanya selepas tamat ZKP, sementara hubungannya dengan Che Nin (Ummi Nazeera) dalam HKLBR pula tidak kesampaian. Namun dengan kembalinya Mon dalam HMJPT, mungkinkah persoalan itu akan berjawab?
 
Usop Wilcha - lakonan Shy8
Dalam ZKP, Usop merupakan penduduk Kampung Pisang yang berperwatakan lembut dan tidak pernah henti-henti memberitahu semua orang bahawa dia bekas penari kebudayaan yang pernah membuat persembahan di Jerman. Namun begitu, dalam HKLBR, Usop dinaiktaraf menjadi watak penting, dan dikenali sebagai Usop Wilcha, selepas kakinya dilenyek jentera Wan Kaswi (Azwan Annuar) dan perlu menggunakan kerusi roda. Usop Wilcha mempunyai tabiat suka menari-narikan tangannya dan sentiasa mencari peluang untuk rapat dengan Husin.
 
Abi Hurairah - lakonan Johan Raja Lawak
Abi Hurairah merupakan kawan baik Husin yang diperkenalkan dalam HKLBR. Abi tinggal serumah dengan Usop Wilcha dan membantu membawa Usop Wilcha ke mana-mana dengan motosikalnya. Seorang yang ramah-tamah dan suka mengusik, Abi juga selalu membuat kesilapan dalam pertuturan Bahasa Inggeris. Abi juga suka berpakaian ala rock 80-an.
 
Musalman - lakonan Pekin Ibrahim
Musalman merupakan anak Kak Limah yang pernah menjadi seorang penagih dadah dan pencuri. Namun begitu dia kemudiannya berubah dan dikatakan bekerja di syarikat milik Rosyam Nor di Kuala Lumpur.
 
Anak Dara Kampung Pisang:

Maimon - lakonan Ezlynn
Maimon (atau Mon) merupakan anak dara Pak Abu (yang mati mengejut dalam ZKP) dan menjadi rebutan para teruna Kampung Pisang, terutama sekali Husin. Maimon nampak seperti seorang gadis yang agak lurus dan tidak peduli dengan perhatian yang diberikan kepadanya.
Selepas ZKP, watak Mon tidak muncul kembali dalam HKLBR. Namun begitu, para penonton bakal dipertemukan semula dengan watak lakonan Ezlynn ini dalam HMJPT.
 
Cik Nin - lakonan Ummi Nazeera
Cik Nin merupakan anak kepada Pak Jabit yang juga bekerja di warung Pak Jabit. Tidak banyak yang diketahui tentang Cik Nin melainkan dia pernah bercinta dengan Husin sebelum Husin memutuskan hubungan mereka dan membawa diri ke Singapura.
 
Munah - lakonan Nadia Mustafa
Munah merupakan seorang lagi anak Pak Abu dan juga kakak kepada Maimon. Dalam ZKP, Munah pernah bercinta dengan A. Kamsan sebelum A.Kamsan membawa diri.
 
Ayu - lakonan Avaa Vanja
Dalam HKLBR, Ayu merupakan seorang gadis yang menyimpan perasaan kepada Husin tetapi tidak dipedulikan Husin.
Watak Ayu juga akan kembali dalam HMJPT.
 
Warga Tua Kampung Pisang:

Pak Jabit - lakonan Man Kadir
Pak Jabit merupakan ketua kampung para penduduk Kampung Pisang yang berubah menjadi zombi secara tiba-tiba selepas jenazahnya hilang ketika di rumah Pak Abu. Dalam HKLBR, dia juga pemilik sebuah warung kopi. Pak Jabit menyimpan rasa marah kepada Husin kerana meninggalkan anaknya, Cik Nin untuk bekerja di Singapura.
 
Pak Abu – lakonan Zami Ismail
Dalam ZKP, Pak Abu merupakan bilal Kampung Pisang dan bapa kepada Munah dan Maimon, yang menjadi rebutan ramai, termasuk Husin. ZKP bermula apabila Maimon meminta bantuan Husin kerana Pak Abu tiba-tiba mati mengejut. Pak Abu suka berpura-pura berani dan bercakap besar walaupun sebenarnya seorang yang penakut, dan menjadi orang yang mencadangkan agar siasatan dibuat terhadap masalah Hantu Kak Limah.
 
Pak Mail – lakonan Hamid Gurka
Pak Mail merupakan penduduk warga emas Kampung Pisang yang mempunyai masalah pendengaran, menyebabkan masalah komunikasi apabila para penduduk yang lain cuba untuk menyedarkannya tentang kehadiran zombi di kampung tersebut.
 
Watak-Watak Lain:

Kak Limah – lakonan Delimawati
Kak Limah merupakan penduduk Kampung Pisang yang tinggal sendirian. Dalam HKLBR dia disalahertikan akibat penyakitnya dan menjadi subjek ketakutan para penduduk yang lain. Kak Limah mempunyai anak bernama Musalman. Dalam HMJPT, Kak Limah kembali, kali ini sebagai
perancang rombongan ke Singapura.  

Wan Kaswi - Azwan Annuar
Dalam HKLBR, Wan Kaswi merupakan penduduk Kampung Pisang yang menjadi pelanggan tetap warung Pak Jabit dan terlibat dalam misi menyelesaikan isu Hantu Kak Limah.

yahoo.entertainment

2 comments:

  1. aku tgh tgk making HML 2 ni..hehehhe

    ReplyDelete
    Replies
    1. amboi kulaan...aku tak sempat lg...hehehe...pasti menarik kan?

      Delete