Wednesday 9 January 2013

Kesihatan: Cantikkan Kulit Anda Dengan Yogurt



Selain melancarkan proses penghadaman, yogurt juga boleh dijadikan bahan penjagaan kulit yang dapat kita gunakan setiap hari.  Ini kerana kandungan asid semula jadi dalam yogurt yang berkesan untuk mengurangkan minyak yang menyumbat liang-liang halus pada kulit. Yogurt juga mengandungi pelbagai vitamin dan mineral yang membantu meningkatkan sistem imun tubuh kita untuk melawan bakteria.

Di samping itu, yogurt mengandungi enzim penting yang dapat bertindak sebagai pelembap semula jadi bagi kulit, wajah dan rambut.  Mendapatkan yogurt juga amat mudah.  Kita hanya perlu pergi ke mana-mana pasaraya  dan membeli yogurt pada harga yang berpatutan.

1. Yogurt sebagai masker.
Gunakan yogurt biasa (yang berwarna putih dan tiada perasa tambahan) dan letakkan ke dalam peti sejuk. Setelah sejuk, sapukan 1-1½ sudu makan yogurt pada seluruh wajah.  Tambahkan beberapa titis madu jika anda memiliki kulit kering.  Ratakan pada seluruh wajah dan leher.  Biarkan selama 15-20 minit dan bilaslah dengan air suam. Masker yogurt akan memberikan rasa sejuk dan menegangkan kulit. Yogurt juga membantu menghilangkan kekusaman dan menyerlahkan seri semula jadi pada wajah.

2. Yogurt untuk jerawat dan noda wajah.
Pastikan wajah anda bersih daripada mekap atau kotoran.  Sapukan yogurt secukupnya pada jerawat dan noda/bintik pada wajah. Yogurt mengandungi aktibakteria dan antikulat semula jadi serta serta kaya dengan kandungan zink yang dapat membantu membersihkan noda-noda pada wajah dan mengecilkan liang-liang kulit. Biarkan selama 20-30 minit sebelum dibilas.

3. Yogurt untuk kesan selaran sinaran mentari.

Pakar kecantikan semula jadi yang juga penulis buku ‘Natural Beauty for All Seasons’, Janice Cox mengesyorkan supaya yogurt sentiasa dibawa bersama apabila hendak berkelah di pantai. Katanya, yogurt dapat membantu mendinginkan luka terbakar akibat sinaran matahari. Sapukan yogurt biasa pada bahagian yang berkenaan dan biarkan selama 15-20 minit sebelum dibilas.

Perhatian:  Sila pastikan yang anda hanya menggunakan yogurt biasa.  Yogurt yang sudah ditambah dengan pelbagai perasa buah-buahan, mengandungi gula yang tidak diperlukan oleh kulit kita.


www.fashionesedaily.com

No comments:

Post a Comment