Sunday 21 October 2012

Budak mati dibunuh, dibuang di bawah pokok sukun


Klang: Seorang kanak-kanak lelaki warga Kemboja yang tidak pulang ke rumah selepas keluar bermain petang kelmarin, ditemui mati dibunuh dan dibuang di bawah pokok sukun dalam semak berhampiran rumahnya, di Sungai Udang, di sini, malam kelmarin.

Bapanya, Set El It, 35, yang keluar mencari mangsa bersama-sama jirannya, menemui mayat Sy Rasikin Sy Ismail dalam bungkusan kain sarung dan ditutupi daun, kira-kira jam 11.50 malam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof, berkata ketika ditemui mangsa memakai baju Melayu merah dan berseluar coklat selain ada kesan lebam di bahagian muka.

Katanya, sejurus selepas ditemui, bapa mangsa membawa mayat anaknya ke sebuah klinik di Pekan Teluk Pulai di mana mangsa disahkan meninggal dunia.

“Doktor mengarahkan mayat mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya, namun bapanya enggan dan membawa mayat mangsa pulang ke rumah bagi mengadakan majlis bacaan surah Yasin.
“Seorang jiran mangsa yang merasa curiga dengan kematiannya terus menghubungi polis dan memaklumkan mengenai kejadian kepada polis," katanya ketika dihubungi semalam.

Mohamad berkata, sejurus selepas menerima laporan itu, sepasukan polis bahagian forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan sepasukan anggota unit anjing pengesan (K9) dikejarkan ke tempat kejadian bersama pegawai perubatan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, anjing pengesan mengesan sebuah rumah yang disyaki tempat mangsa dibawa sebelum dipukul sehingga mati.

Katanya, polis kemudian menahan dua lelaki warga Kemboja, yang bekerja sebagai tukang jahit dan selepas disiasat, kedua-dua mereka mengaku menampar dan memukul mangsa kerana selalu diejek sebagai ‘gila’ oleh mangsa.

No comments:

Post a Comment