Thursday 9 August 2012

Kelab Hungary tewaskan Harimau Malaya 2-0



KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan tumpas 0-2 kepada kelab Hungary, Gyirmot Gyor FC dalam perlawanan persahabatan di Budapest, Hungary awal pagi tadi.

Pasukan negara yang dikenali sebagai Harimau Malaya kini sedang mengadakan latihan di Vienna, Austria dari 4 hingga 16 Ogos sebagai persiapan menghadapi Piala AFF Suzuki pada November ini.
Kelab Hungary itu yang dibimbing bekas pemain kebangsaan Hungary, János Csank membuka jaringan pada minit ke-30 menerusi pemain tengah Norbert Tóth sebelum penyerang Magasföldi József menyumbat masuk gol kedua pada masa kecederaan (minit ke-92), menurut kelab itu seperti dipetik dalam laman web mereka http://www.gyirmotfc.hu.

Anak buah Datuk K. Rajagobal itu akan menentang sebuah lagi kelab Hungary, TSV Hartberg empat hari lagi sebelum menamatkan Jelajah Eropah berdepan kelab Austria, Szombathely Haladas FC pada 14 Ogos.

Skuad Harimau Malaya yang juga juara bertahan Piala AFF Suzuki yang dimenangi pada 2010, telah diundi bersama naib juara edisi lepas, Indonesia dan juara tiga kali, Singapura dalam Kumpulan B.

No comments:

Post a Comment