SELAIN biskut, kek cawan dan mufin kini menjadi antara manisan yang dihidangkan kepada tetamu ketika majlis rumah terbuka. Selain nampak comel, mufin memberi kelainan kepada kek atau makanan yang sedia terhidang di meja.
Teknik asas membuat mufin juga mudah. Hanya campurkan bahan di dalam bekas kemudian diputar sehingga sebati. Tanpa menggunakan mentega, mufin yang lembut dengan tekstur yang halus mampu diperoleh.
Menurut pemilik My Mum's Bakery, Siti Saleha Idris, resipi mufin coklat yang tidak meng–gunakan mentega diperoleh turun temurun daripada ibunya.
“Biasanya mufin menggunakan mentega, susu atau dadih sebagai bahan utama, tetapi sebenarnya tanpa mentega, mufin yang lembut, halus dan gebu mampu diperoleh dengan hanya menggunakan bahan asas. Apa yang penting adalah teknik memutar menerusi satu arah supaya dapat menghasilkan adunan sekata,” katanya.
Selain itu, pastikan adunan mufin tidak dikacau melebihi 15 saat. Adunan yang terlalu dikacau akan membuatkan mufin liat, mendap dan tidak sedap.
“Adunan yang bergumpal dan tidak rata memang biasa sewaktu membuat mufin. Jadi pastikan bahan sebati dan lembut selepas dikacau,” katanya yang turut menerima tempahan kek cawan, mufin dan kek untuk majlis perkahwinan dan hari jadi.
Untuk mendapatkan mufin yang diinginkan, Siti Saleha menasihatkan agar menggunakan tepung mufin yang dijual di pasar raya. Elak menggunakan tepung kek atau pastri kerana ia akan membuatkan mufin terlalu lembut dan bentuknya akan berubah.
Isian cawan mufin pula haruslah sebanyak tiga suku penuh untuk adunan ringan bagi membolehkan tepung naik ketika dibakar. Gunakan sudu, senduk kayu ataupun sudu ais krim untuk mengisikan adunan ke dalam cawan agar kemas dan tidak comot.
Paling penting untuk mendapatkan mufin yang segar dan gebu, pastikan ketuhar dipanaskan terlebih dulu sebelum dibakar. @HMetro
No comments:
Post a Comment