Sunday, 19 August 2012

Aidilfitri....Dulu & Kini...Akuilah...



Ketupat dan rendang masih dijadikan hidangan utama, namun hari pertama Syawal yang sangat istimewa buat semua umat Islam sudah banyak berubah mengikut peredaran masa. Meskipun terdapat kelainan, ia tidak bermakna hubungan silaturrahim antara sanak-saudara dan sahabat-handai sudah kian renggang serta matinya sesebuah tradisi dan budaya masyarakat Islam di Malaysia. Sebaliknya, ia membuahkan bukti evolusi tradisi dan budaya itu.

LOKASI


Dulu: Kehijauan dusun, sawah padi dan pokok kelapa yang memberikan kedamaian hati membuatkan kampung sebuah tempat yang sering diingati dan dirindui rakyat Malaysia. Dianggap sebagai rumah kedua, kampung menjadi destinasi wajib menjelang raya untuk mereka bertemu datuk, nenek dan saudara-mara tersayang.


Kini: Perkembangan teknologi dan kenaikan taraf hidup telah membuatkan ramai berpindah ke kawasan bandar. Walaupun hubungan masih kekal utuh, namun nikmat beraya di bandar tidak mungkin boleh disamakan dengan kawasan desa. Pada zaman ini juga, melancong di luar negara ketika Hari Raya seakan-akan sudah menjadi ikutan orang ramai.

LAGU RAYA



Dulu: Muzik ghazal dan lagu asli Melayu seperti lagu-lagu P. Ramlee sering berkumandang di radio. Tidak dilupakan juga legenda Allahyarham Sudirman dengan lagu klasik "Balik Kampung" beliau yang sehingga kini masih dinanyikan ramai.


Kini: Muzik juga tidak lari daripada evolusi budaya yang sedang berlaku. Kini, pelbagai jenis muzik diperkenalkan di tanah air seperti rap, pop, dan indie yang mana genre tersebut diselitkan dengan lagu tema Hari Raya.

KAD UCAPAN HARI RAYA


Dulu: Ucapan 'Selamat Hari Raya' sering ditutur melalui kad kertas yang diberi kepada rakan-rakan di sekolah atau di tempat kerja. Ditambah lagi dengan jemputan ke rumah terbuka. Jika kita imbas kembali, kad-kad itulah yang akan menghiasi dinding dan meja di rumah semasa Hari Raya.


Kini: Dengan adanya teknologi yang canggih, kini, ucapan 'Selamat Hari Raya' dan jemputan ke rumah terbuka dibuat melalui kad visual yang diletakkan di laman Facebook sahaja. Untuk memudahkan kerja, kawan-kawan hanya akan di-'tagged' di kad visual tersebut sahaja. Selain penggunaan internet, aplikasi Whatsapp, BlackBerry Messenger (BBM), dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) di telefon mobil juga digunakan sebagai medium.

DUIT RAYA


Dulu: Kalau dari segi hal kewangan, memang segalanya lebih mudah dan juga murah pada zaman dahulu. Syiling 50 sen atau RM1 pun sudah dikira banyak untuk kanak-kanak pada zaman itu.


Kini: Jangankan RM1, RM50 pun tidak dikira cukup untuk kebanyakan orang. Kini, hanya wang kertas yang digunakan sebagai duit raya. Dan disebabkan peredaran masa yang mana semua harga sudah naik, maka duit raya pun terpaksa dinaikkan.

HIBURAN


Dulu:
Meriam buluh dan pelbagai mercun yang dibuat sendiri oleh kanak-kanak inovatif pasti didengari di seluruh kawasan perumahan. Memang menyeronokkan, tetapi boleh mebawa nahas.


Kini: Kes-kes cedera parah dan maut yang sering berlaku akibat mercun telah menyebabkan penggunaannya lebih terhad berbanding dulu. Lebih-lebih pula, kanak-kanak sekarang lebih gemar berada di rumah bermain permainan video sahaja.

PAKAIAN




Dulu:
Seperti dalam filem 60-an, baju kurung, kebaya, dan selendang yang berpotongan ringkas sering digayakan golongan wanita.


Sekarang: Pelbagai fesyen baju kurung dan kebaya moden yang direka dengan pelbagai potongan serta mencampurkan pelbagai elemen budaya luar sudah menjadi ikutan orang ramai. Google sahaja 'baju kurung moden' dan anda boleh dapati perbezaan ketara berbanding baju kurung tradisional. Golongan lelaki pula masih tidak lekang daripada baju Melayu yang masih kekal serupa sehingga kini.


KUIH RAYA




Dulu:
Selain lemang, ketupat, dan rendang, manisan seperti tart nanas, agar-agar, dan kuih bahulu waijb dihidangkan sebagai pencuci mulut.


Kini: Disebabkan banyak pendedahan kepada budaya luar, ramai juga yang gemar menghidang kuih Barat seperti macaroon, kek cawan, kek pelangi dan pelbagai lagi. Hal ini sedikit sebanyak membuatkan Hari Raya lebih menarik dengan adanya pelbagai jenis juadah menarik yang terhidang di depan mata, selain dapat meningkatkan kreativiti memasak. 


Inspired by Ramadhan@Yahoo

1 comment: