Wednesday, 29 August 2012

EPL Giant War !!!!



Beberapa hari lagi tamatnya musim perpindahan pemain, kuasa besar Liga Perdana Inggeris pastinya tercari-cari siapa yang harus dibeli pada saat akhir.

Arsenal
PERBELANJAAN 40 JUTA (RM196.8 juta)

Dua perlawanan tanpa sebarang jaringan menunjukkan masalah dihadapi Arsenal dan tidak ramai penyerang berbakat yang tinggal selain Jermain Defoe. Lukas Podolski dan Olivier Giroud pastinya menyumbang jaringan buat Gunners sebaik menyesuaikan diri dengan Liga Perdana Inggeris tetapi Arsenal tidak boleh menghadapi permulaan sukar sekali lagi selepas terpaksa mengejar pesaing mereka sepanjang musim lalu.

Arsenal Wenger mungkin perlu cuba mendapatkan Defoe yang kini tidak lagi betah di Spurs dan kini bercadang untuk berpindah. Defoe dilihat sebagai pengganti terbaik Robin van Persie.


Berita baiknya, Arsenal dilihat lebih mantap di bahagian pertahanan sejak Steve Bould menjadi orang nombor dua Wenger dan keadaan mereka sepatutnya lebih baik sebaik Laurent Koscielny kembali bergandingan dengan Thomas Vermaelen.

Bagaimanapun, mereka mungkin memerlukan seorang lagi pemain tengah selepas menjual Alex Song kepada Barcelona dan pemain Newcastle, Yohan Cabaye mungkin layak mengisi kekosongan itu.


Chelsea 

PERBELANJAAN 80 JUTA (RM393.5 juta)


Juara Eropah itu bermula cemerlang musim ini dan kelihatan begitu mantap tetapi masih kekurangan pilihan pemain untuk mengisi posisi penyerang. Masalah yang dialami Roberto Di Matteo adalah akhirnya dia berjaya memastikan Fernando Torres melakukan tugas itu dan tidak mahu merosakkan dengan membawa masuk seseorang yang boleh meruntuhkan keyakinan pemain Sepanyol itu.

Begitupun, selagi Torres tahu dia seorang pemain utama, ia bukan satu masalah.

Mereka mempunyai Daniel Sturridge tetapi Chelsea memerlukan seorang peneraju yang tegap di bahagian serangan untuk menggantikan Didier Drogba supaya mereka boleh membawa bola naik ke kubu lawan dan memastikan ia akan terus berada di situ.

Pemain Athletic Bilbao, Fernando Llorente mampu menggalas tugas itu. Dia besar, kuat dan tahu bagaimana membawa bola ke gawang. Dia mungkin akan ke Juventus tetapi Chelsea mempunyai wang yang banyak untuk mendapatkannya.

John Terry juga mula mengalami kecederaan dan mungkin Chelsea perlu memikirkan untuk mendapatkan bek tengah yang baru.


Liverpool

PERBELANJAAN 27.8 JUTA (RM136.8 juta)


Brendan Rodgers jelas sekali tidak menyukai Andy Carroll jadi beliau perlu mendapatkan penyerang lain yang boleh meringankan beban yang digalas Luis Suarez.

Suarez adalah penyerang bertaraf dunia yang suatu hari nanti akan berada setaraf Gianfranco Zola, Dennis Bergkamp atau pun Eric Cantona. Bagaimanapun kekuatannya adalah kebolehan kreatifnya dan bukannya seorang penjaring gol sejati.

Apa yang diperlukan Liverpool adalah seorang Robbie Fowler yang muda untuk digandingkan dengan Suarez.

Ini adalah kerana Liverpool tidak lagi berada dalam Liga Juara-Juara dan tidak mempunyai sumber kewangan sebanyak pesaing mereka dan pastinya ketinggalan dalam perlumbaan sekiranya ada penyerang utama untuk dibeli.

Bagaimanapun dengan adanya Joe Allen, Steven Gerrard dan Nuri Sahin di bahagian tengah, Liverpool boleh melakukan lebih baik daripada apa yang dijangka memandangkan beberapa pemain muda juga kini mula menunjukkan kehebatan mereka.

Raheem Sterling misalnya meraih penampilan pertama Liga Perdana Inggeris sewaktu menentang Manchester City hujung minggu lalu tetapi dia baru berusia 17 tahun dan tidak boleh bermain setiap minggu. Liverpool perlu mendapatkan seorang pemain lain yang mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan.


Manchester City

PERBELANJAAN 15 JUTA (RM73.8 juta)


Kata orang anda tidak boleh berdiam diri dalam bola sepak dan juara liga juga masih perlu memperbaiki kedudukan mereka. Roberto Mancini mempertikaikan mengenai kekurangan aktiviti perpindahan pemain di City biarpun skuadnya begitu mengagumkan.

Begitupun Van Persie yang sebelum ini diintai City, memilih musuh ketat mereka, United untuk menyambung kariernya dan jika wang menjadi pilihan sudah tentu dia akan ke Stadium Etihad.

Begitupun, mereka mempunyai limpahan pemain hebat dan pengambilan Scott Sinclair dari Swansea minggu ini dilihat pelik memandangkan jika pemain sayap England, Adam Johnson gagal merebut tempat daripada David Silva dan Samir Nasri, apa pula peluang Sinclair?

Satu ruang untuk diperbaiki skuad City adalah di bahagian pertahanan. Vincent Kompany dan Joleon Lescott adalah gandingan pertahanan terhebat tetapi Kolo Toure kini tidak lagi menjadi pilihan utama.


Manchester United

PERBELANJAAN 46 JUTA (RM226.4 juta)


Apabila anda menurunkan Michael Carrick di posisi bek tengah, jelas sekali di mana sasaran Alex Ferguson di dalam musim perpindahan ini.

Rio Ferdinand, Jonny Evans dan Chris Smalling mengalami kecederaan dan United memerlukan seorang pertahanan tengah untuk membantu Nemanja Vidic.

Pemain Portugal, Bruno Alves yang ketika ini bermain di Zenit St Petersburg mungkin boleh dipertimbangkan. Dia adalah seorang pertahanan yang bertubuh besar dan tegap dan mempunyai banyak pengalaman di peringkat antarabangsa, menarik perhatian sewaktu Euro baru-baru ini.

Zenit belum tentu akan menjual Alves tetapi pertahanan dengan kualiti itulah yang perlu dicari United.

Mereka juga perlu mendapatkan pemain tengah kerana dua bintang veteran mereka, Scholes dan Ryan Giggs tidak mampu bertahan selama-lamanya.

Shinji Kagawa bermula cemerlang sejak tiba dari Borrusia Dortmund tetapi dia perlukan bantuan di bahagian tengah. Mereka sudah pun membelanjakan lebih 40 juta dan banyak yang belum terjawab mengenai status kewangan mereka dan mungkinkah mereka akan membuat beberapa lagi pembelian minggu ini.


Tottenham

PERBELANJAAN 21.7 JUTA (RM106.8 juta)


Apa yang berlaku di White Hart Lane sekarang ini sukar difahami dan mungkin kita perlu biarkan semuanya tenang untuk beberapa minggu sebelum membuat kesimpulan mengenai pengurus baru mereka, Andre Villas-Boas.

Penjualan Luka Modric ke Real Madrid tidak dapat dielakkan dan Spurs tidak boleh disalahkan kerana menjual pemain Croatia yang mahu meninggalkan kelab itu. Begitupun tindakan mereka terlalu lewat untuk mencari pengganti pemain tengah itu yang dilihat penting dalam gaya bola sepak Tottenham.

Apa yang lebih pelik adalah keinginan untuk menjual Defoe dan pertahanan Michael Dawson. Beberapa minggu lalu, Dawson diberitahu akan menjadi kapten kelab itu selepas persaraan Ledley King dan tiba-tiba dia tidak lagi dikehendaki.

Ada desas-desus mengenai Spurs mengambil Ricardo Carvalho sebagai sebahagian daripada perjanjian mereka di Real. Mengenai Defoe pula, apa lagu yang perlu dibuktikannya di White Hart Lane selepas menjaringkan 100 gol Liga Perdana Inggeris dan dilihat sempurna untuk digandingkan dengan Emmanuel Adebayor di bahagian serangan.

Villas-Boas dikatakan mahu mendapatkan pemain tengah menyerang, Shakhtar Donetsk, Willian, dan rakan senegaranya dari Brazil, Leandro Damiao tetapi adakah mereka menjaringkan gol sebanyak Defoe?





@HMetro

No comments:

Post a Comment