Tuesday, 22 January 2013
Kisah & Teladan: Kerana Gila Bola...Bercerai
Penceraian salah satu agenda syaitan bagi menyesatkan umat. Penceraian tidak sepatutnya berlaku tetapi jika sebab yang kukuh, ia boleh berlaku dan dibenarkan. Tapi jika perceraian berlaku dek perkara yang tidak sepatutnya, mungkin agak keterlaluan. Seperti kisah pasangan yang Maskulin kongsikan kali ini. Mereka bercerai hanya kerana hobi si suami yang suka menonton perlawanan bola sepak.
Tapi jika perceraian berlaku dek perkara yang tidak sepatutnya, mungkin agak keterlaluan. Seperti kisah pasangan yang Maskulin kongsikan kali ini. Mereka bercerai hanya kerana hobi si suami yang suka menonton perlawanan bola sepak.
Gila bola mungkin bukan hobi pelik. Satu dunia tahu apa itu bola sepak. Kebanyakan lelaki yang hidup di atas muka bumi ini, walaupun tidak tahu bermain bola tetapi pastinya pernah bermain walaupun sekali dalam seumur hidup. Bezanya, sama ada seseorang itu masih mampu mengawal minat ataupun terlalu obses dengan hobi itu. Ia bukanlah sesuatu yang pelik, cuma jangan sampai ia melekakan dan memacu anda ke arah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.
Aida adalah seorang bekas isteri kepada seorang peminat bola sepak tegar yang terlalu obses dengan dunia bola sepak sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa. Amran (bukan nama sebenar) yang berusia 29 tahun merupakan seorang peminat bola sepak yang boleh dikatakan fanatik. Tidak kiralah apa juga perlawanan, tentu dia antara peminat pertama yang akan menonton.
Hobinya selain menonton bola tentulah bermain bola sepak dan futsal. Pantang diajak!. Walaupun letih pulang dari pejabat atau hujung minggu, dia semestinya tidak akan menolak kalau diajak oleh teman-teman.
Kalau bujang mungkin tidak menjadi masalah. Apa yang menjadi masalah sekarang adalah Amran merupakan seorang suami dan bapa kepada seorang anak perempuan. Sekali dua, isterinya boleh beralah tetapi apabila menjangkau dua tahun perkahwinan, perangainya yang terlalu obses dengan bola sepak menjadi-jadi.
Dia semakin leka dan masanya untuk keluarga digunakan sebagai masa untuk lepak bersama kawan-kawannya menonton atau bermain bola sepak sahaja. Kadangkala pada hujung minggu juga dihabiskan dengan bola sepak.
“Saya cuba untuk tidak bergaduh mengenai perkara ini. Itu minatnya. Saya juga punya hobi tetapi masa dan tanggungjawab untuk keluarga tidaklah sehingga terabai. Saya cuba bertahan. Pada awalnya saya sentiasa berfikir positif. Normal bagi seorang lelaki minat bola sepak tetapi kalau dah terlalu obses, siapa boleh tahan?” kata Aida.
“Pada musim bola sepak seperti Piala Dunia, keadaan lagi teruk. Macam biasa, kalau Piala Dunia tentunya ramai yang akan tunggang-langgang waktu tidurnya. Begitu juga dengan Amran. Tidak tahu mana siang, mana malam. Kalau malam berjaga, tidak mungkin waktu siang dia boleh bertahan. Ketua di tempat kerja pun selalu bising kepadanya tetapi dia tidak mengendahkan teguran. Saya sebagai isteri terasa apabila dia terlalu melebihkan bola sepak daripada saya,” tambahnya lagi.
“Adakah hubungan anda suami isteri terjejas?” soal penulis.
“Ya! Amat terjejas. Saya bukanlah jenis yang terlalu ‘hadap’ dengan layanan mesra atau inginkan perhatian. Saya juga kadangkala menemaninya menonton bola sepak tetapi biarlah berpada-pada. Tanggungjawabnya sebagai seorang suami tidak sepatutnya terabai. Saya pernah berkata kepada Amran, kalau minat bola sangat apa kata pergi sertai mana-mana pertandingan atau kelayakan untuk mana-mana pasukan. Paling tidak pun, ada juga hasilnya. Ini tidak, setakat menonton dan menjerit di rumah dan kedai mamak, bakat tidak ke mana,” terang Aida lagi.
Jelas terpancar di wajahnya perasaan kecewa sebagai seorang isteri. Dia bukanlah jenis yang suka memaksa. Kalau suaminya lebihkan bola sepak dan kawan-kawan, mana lagi tempatnya dan anak untuk bermanja dan bermesra?.
“Pernah sekali pada satu hujung minggu. Dia telah berjanji untuk membawa saya dan anak bercuti. Baru dapat bonus katanya. Tetapi ketika saya sedang packing pakaian dan barang, tiba-tiba temannya call dan ajak keluar bermain futsal. Dia terus angkat kaki keluar bersama temannya. Apa perasaan saya ketika itu hanya tuhan yang tahu.”, luah Aida cuba menahan rasa sebak.
“Anda pernah berbincang dengan Amran mengenai perkara ini?” soal penulis lagi.
“Ya. Pernah saya bercakap dengannya mengenai perkara ini. Dia meminta maaf dan berjanji untuk memberikan lebih perhatian kepada saya dan anak. Tetapi selepas beberapa minggu kemudian, tabiat lamanya kembali lagi. Masih keluar pada lewat malam, lepak dengan kawan-kawan untuk menonton bola dan macam-macam lagi.
Saya pun punya perasaan. Saya manusia biasa. Apabila sampai hadnya, saya terpaksa meminta dia melepaskan saya. Jadi, saya buat permohonan cerai kepada mahkamah dan meminta agar hak penjagaan anak diserahkan kepada saya. Berat untuk saya melakukan perkara tersebut kerana saya menyayangi dia tetapi kalau hanya saya seorang yang berusaha menjaga hubungan rumah tangga ini, tiada gunanya. Hubungan sepatutnya berlaku dengan kerjasama antara suami dan isteri tetapi kalau dia sendiri pun seperti acuh tidak acuh, saya terpaksa mengundur diri,” jelas Aida lagi.
Kedengaran suaranya sedikit perlahan menahan sebak di dada. Katanya, selepas bercerai, Amran ada beberapa kali cuba menghubunginya tetapi dia mengelak dan cuba untuk tidak berbicara mengenai hubungan mereka lagi. Aida telah tawar hati selepas apa yang telah berlaku. Kini Aida meneruskan hidup dengan anak kesayangannya dan tinggal di rumah ibu bapanya di Bangsar.
Melalui cerita ini, kita boleh jadikan beberapa perkara sebagai pengajaran. Hobi dan minat adalah perkara yang boleh kita wujudkan tetapi jangan terlalu obses sehingga leka pada tanggungjawab. Untuk musim bola sepak yang kembali lagi pada tahun ini, nasihat Maskulin kepada para jejaka sekalian, pastikan minat anda tidak memesongkan tanggungjawab kepada keluarga, kerjaya mahupun persekitaran anda.
Kisah yang disiarkan di majalah Maskulin
No comments:
Post a Comment